200,000 pekerja hilang kerja?


KESAN KEMELESETAN EKONOMI 2008/2009

200,000 pekerja hilang kerja?

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 200,000 pekerja di negara ini terpaksa diberhentikan berikutan merudumnya ekonomi global berbanding 85,000 pekerja sewaktu kemelesetan ekonomi 1998.

Menurut MEF yang dianggotai 4,500 majikan itu, kemelesetan ekonomi global 1998 hanya membabitkan peringkat Asia berbanding krisis semasa yang lebih meluas kesannya.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang terjejas teruk pada masa ini ialah industri komponen elektronik dan elektrikal apabila ada di antaranya tidak menerima tempahan produk untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, sebagai langkah bertahan, syarikat terbabit mula melakukan pemotongan kos operasi dengan menghapuskan sistem kerja lebih masa atau menghentikan pekerja dan bagi kes yang kritikal, sudah ada yang menutup operasi atau cawangan.

Katanya, perkembangan negatif itu berpunca daripada kekalutan ekonomi global sehingga menguncupkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun yang menjadi pasaran utama produk elektrik dan elektronik negara.

“Keadaan ini dijangka berlarutan sehingga 2010 dan paling awal pasaran dapat distabilkan ialah dalam jangka masa 18 bulan.

“Pada 1998, seramai 85,000 pekerja diberhentikan dan kali ini kita jangka angka itu meningkat sekali ganda mencecah 200,000 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam bahawa kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada hujung bulan ini.

Shamsuddin berkata, menyedari keadaan yang semakin getir, MEF telah bersemuka dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengemukakan beberapa cadangan untuk memastikan syarikat yang mula tenat itu diberi sedikit bantuan untuk bernafas.

Katanya, MEF telah mencadangkan kepada kerajaan untuk meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula kenaikan tarif elektrik sebanyak 26 peratus yang mula dikuatkuasakan pada Julai 2008.

“Semakan kadar itu bukan sahaja untuk sektor industri dan perniagaan bahkan orang ramai juga berhak menikmati kadar tarif baru.

“Kalau kedua-dua sektor ini terbeban, duit tak ada banyak dan orang pun tak berbelanja, sebab itulah kita perlu merangsang ekonomi dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, MEF juga mencadangkan kerajaan menggantung pembayaran levi satu peratus daripada jumlah pembayaran gaji pekerja pada setiap bulan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

Katanya, walaupun menyedari caruman itu bertujuan mengisi dana latihan pekerja, namun MEF berpendapat lebih elok jika kerajaan menggantung sementara caruman tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: